"Ada hikmah dan peluang untuk pemain lain buktikan kemampuan."
Demikian pandangan pemerhati bola sepak negara, Datuk Richard Scully, dalam mengulas senarai 24 pemain Harimau Malaya yang dipilih menghadapi dua aksi antarabangsa Tier 1 menentang China dan Yaman, masing-masing pada 14 dan 17 November ini.
Richard menyifatkan ketiadaan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) adalah perkara kedua kerana apa yang lebih penting adalah bagaimana pemain yang diberi kepercayaan mampu membantu pasukan menjelmakan keputusan positif.
Ia akan menjadi peluang keemasan buat muka-muka baru mencabar tempat dalam skuad utama, dan mereka perlu menonjolkan kualiti serta komitmen sepenuhnya di atas padang.
Dia juga percaya ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe, sudah menyusun perancangan taktikal terbaik disesuaikan mengikut barisan pemain yang ada.
"Ini bukan eksperimen, siapa yang terpilih harus memberikan 100 peratus," katanya kepada wartawan Astro Arena, Ainul Abd Rouf.
"Jika saya, saya tidak mahu mereka memberikan alasan sebelum perlawanan dan mereka perlu menggalas tugas ini.
"Selepas perlawanan barulah kita lihat apa yang perlu diperbaiki.
"Semua yang dipanggil untuk berkhidmat, gunakanlah sebaik mungkin. Saya ucapkan selamat maju jaya buat muka baru yang dipilih, inilah masanya untuk mereka buktikan."