Skip to main content

Bola Sepak

Hanya main 8 orang, minit ke-16 aksi terpaksa tamat. Apa jadi dengan kelab Perlis GSA?

GSA

Kegagalan menurunkan pemain mencukupi membuatkan Perlis Guar Syed Alwi (GSA) berputih mata apabila Kelantan Wan Tendong Stable (WTS) diberikan kemenangan percuma dalam perlawanan Liga A1 Semi-Pro di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Sabtu lalu.

Situasi jarang berlaku apabila pelawat hanya menurunkan lapan pemain tanpa sebarang pemain gantian menentang kesebelasan utama lengkap tuan rumah.

Advertisement

Pada minit ketujuh, permainan terpaksa dihentikan seketika akibat kecederaan seorang pemain Perlis GSA.

Pengadil mengambil keputusan menamatkan aksi pada minit ke-16 berikutan bilangan pemain yang tidak mencukupi akibat mengalami kecederaan berat, sekali gus menghadiahkan kemenangan percuma buat Kelantan WTS dan tiga mata penuh.  

Menerusi satu kenyataan oleh kelab dari utara tanah air itu, disebabkan tiga perkara utama menghalang pasukan untuk mempunyai jumlah yang ditetapkan.

Katanya, beberapa pemain utama dihimpit isu kecederaan memberi kesan terhadap penyedia pasukan, ditambah tonggak-tonggak yang dikenakan penggantungan.

Selain itu, terdapat juga kekangan komitmen kerja menyebabkan pemain tidak dapat hadir beraksi.

Susulan itu, Perlis GSA memohon maaf sambil bertekad untuk memperkuat pasukan pada masa akan datang. 

Must Watch Video