Skip to main content

Permotoran

Hamilton tolak layanan istimewa Ferrari, mahu kerjasama dengan Leclerc

Hamilton tolak layanan istimewa Ferrari, mahu kerjasama dengan Leclerc

Lewis Hamilton menegaskan dia tidak pernah meminta layanan istimewa daripada Ferrari berbanding rakan sepasukan, Charles Leclerc, walaupun peluangnya memburu kejuaraan dunia Formula 1 2026 kini lebih cerah.

Pengunduran Leclerc daripada Grand Prix Itali menyaksikan pelumba Monaco itu kini ketinggalan 112 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Kimi Antonelli.

Hamilton pula hanya dipisahkan 76 mata daripada Antonelli, sekali gus masih mempunyai peluang untuk menjadi pencabar kejutan dalam perebutan gelaran, meskipun tugas itu tetap sukar dengan baki 10 perlumbaan.

Namun, ketika ditanya sama ada Ferrari perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepadanya dan meminta Leclerc membantu kempen kejuaraan, juara dunia tujuh kali itu menolak cadangan tersebut.

“Itu sebenarnya bukan apa yang saya minta.

“Saya cuma mahu kami memastikan segala-galanya dilaksanakan dengan baik supaya pasukan mendapat keputusan terbaik. Daripada kami saling bersaing hingga hanya menamatkan perlumbaan di tempat keempat dan kelima, mungkin lebih baik kami bekerjasama untuk mendapatkan podium dan mengumpul lebih banyak mata,” katanya.

Konsistensi menjadi antara kekuatan Hamilton musim ini apabila dia satu-satunya pelumba yang menamatkan setiap perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik.

Malah, kedudukan enam terbaik tidak pernah terlepas daripadanya.

Namun, Hamilton sedar Ferrari masih berdepan jurang kelajuan berbanding Mercedes, terutama di laluan lurus.

“Mercedes pada perlumbaan terakhir, jika dilihat pada kelajuan di laluan lurus, enam persepuluh saat lebih pantas setiap pusingan.

“Di kebanyakan litar lain, jurangnya sekitar tiga atau empat persepuluh. Kami kehilangan masa hampir sepenuhnya di laluan lurus,” katanya.

Ferrari juga masih belum meraih sebarang pole position pada musim ini, dengan unit kuasa menjadi antara faktor utama yang membezakan mereka daripada pesaing.

Bagaimanapun, Hamilton melihat perkembangan positif selepas pasukan terus melakukan penambahbaikan terhadap jentera dan enjin.

“Kami sudah melakukan kerja yang sangat baik walaupun berdepan jurang itu dan kami terus memperbaiki kereta.

“Kami tahu peningkatan enjin terakhir bukanlah penyelesaian ajaib yang mampu menutup keseluruhan jurang, tetapi bagi saya sangat positif melihat kami terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Hamilton turut menegaskan dia tidak mahu terlalu memikirkan kekuatan Mercedes, sebaliknya memberi tumpuan kepada bagaimana Ferrari boleh memaksimumkan prestasi setiap hujung minggu perlumbaan.

Menurutnya, akan ada perlumbaan tertentu di mana Mercedes begitu dominan, tetapi mungkin juga terdapat peluang apabila pasukan berkenaan melakukan kesilapan.

“Selagi kami fokus kepada konsistensi dan cuba memaksimumkan setiap hujung minggu, mungkin akan tiba saat kami boleh mengambil kesempatan daripada kelemahan mereka,” katanya.

Anda mungkin berminat dengan

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Must Watch Video

Advertisement