Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, menzahirkan keyakinan Hakim Danish Ramli untuk menduduki salah satu podium yang ditawarkan dalam kancah Moto3 tahun ini.
Advertisement
Bagaimanapun, Hakim Danish -- yang akan membuat kemunculan penuhnya yang pertama -- harus membuktikan kredibilitinya bersaing dengan pelumba handalan seperti Veda Pratama dan Brian Uriarte dalam pusingan pertama yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand.
Zulfahmi turut memberi gambaran pelumba berusia 18 tahun itu akan menghadapi persaingan dalaman yang hebat di samping rakan sepasukan di MT Helmets-MSI, Ryusei Yamanaka, musim ini.
Hakim Danish dijangka menguji kekuatan bersama pasukannya di Portimao, Portugal, pada Isnin depan diikuti sesi ujian di Jerez, Sepanyol, pada 14 dan 15 Februari sebelum memulakan cabaran Moto3 di Grand Prix (GP) Thailand pada 27 Februari kelak.
"Saya jangkakan ada tujuh pelumba muda yang akan bersaing sengit musim ini. Pratama dan Uriarte merupakan dua pelumba yang perlu diberikan perhatian.
"Uriate akan menunggang motosikal juara tahun lalu, Jose Antonio Rueda, dan Hakim Danish pula akan menunggang jentera naib juara tahun lalu, Angel Piqueras.
"Penghijrahan pelumba ini juga memberikan satu percaturan yang menarik," katanya di Nadi Arena.