Prestasi dan pencapaian cemerlang diraih sepanjang 2025 memacu Hafizh Syahrin Abdullah dan Hakim Danish untuk dinobatkan antara pemenang Utama pada malam Anugerah Persatuan Sukan Permotoran Malaysia semalam.
Bekas pelumba MotoGP yang muncul juara keseluruhan di Asia Road Racing Championship kelas asb1000 tahun lalu itu dinobatkan sebagai Pelumba Litar Antarabangsa Terbaik buat dua musim berturut-turut.
Advertisement
Hafizh menyasarkan musim yang lebih baik tahun ini dengan beberapa jangkaan pembaharuan dalam pasukan JDT Racing Team termasuk kehadiran rakan sepasukan baru.
"Apabila ada rakan sepasukan kita akan jadi lebih fokus untuk saingan rakan sepasukan, kita lihat bagaimana nanti. Semestinya akan menjadi musim yang menarik kerana akan ada dua pelumba.
"Jentera tetap dari Ducati," katanya.
Sementara itu, Anugerah Atlet Paling Memberi Inspirasi diberikan buat Hakim Danish.
Keazaman yang tinggi untuk cuba tampil dengan prestasi terbaik dalam setiap perlumbaan tahun lalu terus dibuktikan apabila Danish meraih slot di Kejuaraan Motosikal Dunia kelas Moto3 2026.
Anugerah itu menjadi pembakar semangat menjelang perlumbaan pertama di Buriram, Thailand pada 1 Mac nanti.
"Tahun ini saya akan berlumba di Moto3, tidak mudah tetapi saya bersemangat untuk berlumba tahun ini, Saya akan berikan saingan terbaik, jentera sama dan saya sudah serasi.
"Saya tiada letak sasaran tinggi, fokus perlumbaan dan dapatkan keputusan terbaik." tambahnya.