Jaguh 400m lari berpagar negara, Muhammad Fakrul Afizul Nasir, mahu menjadikan Kejohanan Grand Final Varsity Track and Field (VTF) di Stadium UPM bermula Jumaat ini sebagai pemanas badan sebelum menghadapi Sukan Universiti ASEAN (AUG) hujung tahun ini.
Dia teruja apabila diberikan peluang untuk melakukan penampilan pertama dalam AUG edisi ini dengan hasrat untuk memperbaharui rekod kebangsaan, 50.73s, yang dilakukannya dalam Kejohanan Olahraga VTF 2 di Stadium UniSZA, Terengganu pada Jun lalu.
Berada dalam semester kelima pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Pendidikan Jasmani, Fakrul tidak menganggap tugas sebagai atlet dan pelajar sebagai satu bebanan.
"Buat ketika ini, saya lebih fokus kepada teknik dan ketahanan bagi acara 400m lari berpagar," katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
"Sasaran saya yang sebenarnya adalah ketika di AUG nanti. Saya amat teruja apabila dapat tahu saya dapat ke AUG dan ia adalah sasaran saya untuk memecahkan rekod dalam AUG nanti."
"Olahraga","Grand Final VTF 2026","Fakrul Afizul Nasir","Lari Berpagar"