Sikap ambil mudah beri pengajaran berguna buat juara Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (Sukipt), iaitu Politeknik Malaysia dalam acara kuadran Grand Final Kejohanan Varsity Sepak Takraw League (VSL) di Akademi Sepak Takraw Malaysia, Kampung Baru hari ini.
Hal itu diakui sendiri ketua pasukan, Muhd Ady Putra Mohd Ridzuan, yang pada awalnya memandang enteng kemampuan lawan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), yang ternyata akhirnya beri pengajaran buat mereka.
Kehadiran perejam utama, Muhammad Azim Azizul, benar-benar membantu Politeknik Malaysia untuk menguasai aksi suku akhir itu dengan pastikan kemenangan 2-1 ke atas UPNM.
"Sebenarnya kami sudah pernah jumpa UPNM dalam Sukipt sebelum ini dan kami menang mudah 2-0 ketika itu," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Apabila bertemu kali ini, kami terlebih yakin dan bermain dengan santai dalam set pertama dan kalah sebelum memperbaikinya dalam set kedua dan ketiga."
Pentas separuh akhir bakal memberikan cabaran berbeza buat Politeknik Malaysia, yang akan bertemu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di mana Azim terpaksa pulang ke pangkuan pasukan Terengganu Turtles bagi persediaan menjelang Sepak Takraw League (STL).