Skip to main content

Sukan Lain

Graduan sains sukan dan sains kesihatan kini mampu bergelar Professional Technologist (Ts.) seiring revolusi industri

Hadafi

Dunia Sains Sukan sedang melalui satu revolusi yang belum pernah berlaku sebelum ini. Jika suatu ketika dahulu bidang ini sinonim dengan latihan fizikal, kecergasan dan kejurulatihan, hari ini ia berkembang menjadi satu displin yang dipacu oleh teknologi, kecerdasan buatan (AI), analisis data, sensor pintar, biomekanik, robotik rehabilitasi dan inovasi digital. Perubahan ini menimbulkan satu persoalan yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan graduan universiti, iaitu adakah graduan Sains Sukan dan Sains Kesihatan juga berpeluang memperoleh pengiktirafan Professional Technologist (Ts.) daripada Malaysia Board of Technologists (MBOT)?

Jawapannya ialah Ya, namun pengiktirafan tersebut tidak diberikan semata-mata berdasarkan nama ijazah. Sebaliknya, MBOT menilai seseorang berdasarkan kompetensi profesional, pengalaman kerja, pembangunan teknologi, inovasi, penyelesaian masalah, etika profesional serta sumbangan kepada pembangunan industri. Ertinya, graduan yang membina kerjaya dalam bidang teknologi dan memenuhi keperluan yang ditetapkan berpeluang melalui laluan profesional ke arah gelaran Graduate Technologist (GT) dan seterusnya Professional Technologist (Ts.). Inilah perubahan paradigma yang perlu difahami oleh masyarakat, khususnya warga akademik dan graduan bidang Sains Sukan dan Sains Kesihatan.

Perjalanan Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip sendiri menjadi contoh bahawa sempadan antara Sains Sukan dan Teknologi berjaya diubah. Bermula dengan Ijazah Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Sains Sukan) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan seterusnya menyambung Fast Track Doktor Falsafah dalam bidang Sains Kesihatan, setiap fasa pendidikan telah membentuk satu kekuatan yang saling bertaut dan saling melengkapi. Gabungan asas teknologi kejuruteraan, sains sukan, sains kesihatan dan inovasi penyelidikan  akhirnya membuka ruang untuk membangunkan pelbagai teknologi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan industri sukan.

Minat terhadap inovasi bermula sejak di peringkat sarjana muda apabila penulis membangunkan kajian projek sarjana muda melibatkan inovasi teknologi iaitu Recreational Pneumatic Water Gun, yang berjaya meraih pengiktirafan dalam pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan iaitu Malaysia Technology Expo (MTE). Pengalaman menghasilkan reka bentuk, membina prototaip, menguji fungsi serta menambah baik produk menjadi titik awal kepada pembentukan kompetensi sebagai seorang teknologis. Ia membuktikan bahawa kreativiti dan penyelesaian masalah merupakan asas penting dalam pembangunan teknologi, tanpa mengira bidang pengajian asal seseorang.

Perjalanan tersebut diteruskan melalui penyelidikan kedoktoran beliau dengan pembangunan Integrated Multiple Ankle Technology Device (IMATD), iaitu sebuah inovasi teknologi rehabilitasi kecederaan buku lali yang menggabungkan prinsip biomekanik, sains kesihatan, teknologi pemulihan, ergonomik dan analisis prestasi. Inovasi ini memperlihatkan bagaimana pengetahuan dalam Sains Sukan boleh diterjemahkan kepada pembangunan teknologi yang praktikal, serta mempunyai nilai penyelidikan dan berpotensi untuk dikomersialkan. Dari sinilah lahir keyakinan bahawa graduan Sains Sukan dan Sains Kesihatan bukan sekadar pengguna teknologi, malah mampu menjadi pencipta inovasi penyelesaian lestari.

Kerjaya sebagai pensyarah kanan di Universiti Teknologi Malaysia serta penglibatan dalam memimpin Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan (Sports Innovation and Technology Centre) memperkukuhkan lagi perjalanan profesional penulis. Selain menjalankan penyelidikan dan pembangunan inovasi, penulis turut terlibat dalam projek ergonomik, teknologi sukan, keselamatan pekerjaan, pembangunan modul profesional, kerjasama industri, khidmat kepakaran serta penghasilan harta intelek. Pengalaman luas inilah yang membentuk portfolio profesional yang memenuhi keperluan penilaian MBOT sehingga berjaya dianugerahkan gelaran Professional Technologist (Ts.) sejak tahun 2020 lagi.


Kejayaan ini bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi membawa mesej yang lebih besar kepada ekosistem pendidikan tinggi negara. Ia membuktikan bahawa graduan bidang Sains Sukan dan Sains Kesihatan mempunyai laluan untuk diiktiraf sebagai profesional teknologi apabila mereka mengaplikasikan ilmu dalam pembangunan inovasi, penyelidikan, reka bentuk produk, analisis data, teknologi digital dan penyelesaian berasaskan teknologi. Pada masa yang sama, kejayaan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada universiti untuk memperkukuh kurikulum dengan elemen kecerdasan buatan, Internet of Things (IoT), biomekanik digital, teknologi rehabilitasi, sains data, pembangunan perisian dan keusahawanan teknologi supaya graduan lebih bersedia memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Walau bagaimanapun, adalah penting difahami bahawa pengiktirafan Professional Technologist (Ts.) bukan diperoleh secara automatik hanya kerana seseorang memiliki ijazah dalam Sains Sukan atau Sains Kesihatan. Setiap permohonan dinilai secara profesional oleh MBOT berdasarkan syarat semasa yang merangkumi kelayakan akademik yang berkaitan, pengalaman profesional, portfolio kompetensi, pencapaian teknologi dan kejayaan dalam penilaian profesional. Oleh itu, graduan yang bercita-cita memperoleh gelaran ini perlu merancang  pembangunan kerjaya mereka secara strategik dengan melibatkan diri dalam penyelidikan, inovasi, pembangunan produk dan projek teknologi yang memberi impak kepada masyarakat serta industri.

Masa depan Sains Sukan dan Sains Kesihatan tidak lagi terbatas kepada gelanggang, makmal biomekanik & fisiologi atau padang latihan semata mata. Masa depan bidang ini ialah makmal inovasi, pusat data, teknologi pemulihan, sistem kecerdasan buatan, pembangunan produk, analisis prestasi dan teknologi digital. Negara memerlukan lebih ramai graduan yang mampu menggabungkan ilmu Sains Sukan dan Sains Kesihatan dengan teknologi untuk menghasilkan penyelesaian baharu kepada cabaran industri sukan dan kesihatan. Jika transformasi ini terus diperkasakan, tidak mustahil suatu hari nanti profesion Sports Technologist akan menjadi antara profesion strategik negara, dan lebih ramai graduan Sains Sukan serta Sains Kesihatan akan melakar sejarah sebagai Professional Technologist (Ts.), sekali gus mengangkat martabat disiplin ini ke tahap yang lebih tinggi di Malaysia dan di persada antarabangsa.

Baca link penuh: 
https://news.utm.my/2020/08/adakah-seorang-graduan-sains-sukan-dan-sains-kesihatan-boleh-bergelar-graduan-teknologist-gt-professional-technologist-ts-di-masa-akan-datang/?fbclid=IwZXh0bgNhZW0CMTEAAR1F_x8adpGSBq3iMT5EV_BjyUG-ho4lMaQ43Qhu4eCVbGv4g8yNPuaw5gs_aem_mGZ1eSEyyjrkwWW6-7ZzAg

Tonton link video: https://www.facebook.com/share/v/KdM7CSyXEvgfN6Md/?mibextid=oFDknk

Penulis:
Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip
Pensyarah Kanan Sains Sukan,
Universiti Teknologi Malaysia.

 

Anda mungkin berminat dengan

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

adidas Football Germany 26 Home Pre Match Jersey Men Black JZ4577

adidas Football Germany 26 Home Pre Match Jersey Men Black JZ4577

adidas Football Argentina 26 Home Pre Match Jersey Men White JY9530

adidas Football Argentina 26 Home Pre Match Jersey Men White JY9530

[NEW] PUMA Portugal Away Jersey Men

[NEW] PUMA Portugal Away Jersey Men

adidas Football Argentina 26 Away Jersey Men Black JM8395

adidas Football Argentina 26 Away Jersey Men Black JM8395

Must Watch Video