Kejohanan Selangor International Junior Golf Championship Edisi Kelima kembali dengan lebih gah menerusi penganjuran yang lebih kompetitif menerusi penglibatan pemain dari 10 negara handalan dunia.
Selaku tuan rumah, pemain tempatan menanti cabaran dari bakat luar negara antaranya Thailand, China serta Korea Selatan.
Advertisement
Bagi pemain taruhan Program Pembangunan Remaja Kebangsaan (NJDP), Siti Nur Husna Abdul Karim, sedia membuktikan kewibawaannya.
Ini kerana pemain berusia 17 tahun itu terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan untuk berada di posisinya ketika ini, termasuk cabaran di luar padang.
Nur Husna merupakan produk pertama daripada NJDP sebelum mengecapi pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa.
Nur Husna masih segar daripada kejayaan muncul juara kejohanan CWJ PGA di Hainan, China.
Atas faktor itu, Nur Husna sedia mengetuai cabaran pemain NJDP untuk menyinar dalam penganjuran edisi kelima kali ini.
"Saya sempat beraksi di Hainan, China.
"Lapangan di sana sangat berangin dan walaupun sukar, saya dapat mengawal keadaan.
"Saya dapat mengutip banyak pengalaman di luar negara hasil sokongan NJDP dan keluarga," katanya.