Setelah lama berkelana ke Amerika Syarikat (AS) dan muncul antara pemain golf profesional terbaik negara, Kelly Tan memasang impian besar untuk membuka akademi golfnya sendiri.
Baginya, ia sebagai langkah terbaiknya menyumbang kembali kepada arena golf Malaysia dengan meletakkan usaha untuk membangunkan bakat baru golf tempatan untuk sampai ke tahap seperti apa dicapainya kini.
"Tahun depan saya akan mula beri lebih tumpuan kepada bidang kejurulatihan dan setakat ini saya lebih cenderung kepada peringkat remaja, seterusnya menghampiri impian untuk membuka akademi sendiri.
"Saya tidak gemar untuk bercakap pasal persaraan setelah 20 tahun berkecimpung dalam karier.
"Saya harap dapat curahkan pengalaman yang dikutip selama ini kepada generasi berikutnya," katanya di Nadi Arena.