Siri pertama Kejohanan Golf 100Plus MGA NJDP Junior Series menyaksikan pemain kebangsaan, Andrew Yap, mempamerkan aksi konsisten dari hari pertama untuk muncul juara keseluruhan hasil mencatat 219 pukulan 6 di atas par.
Andrew mengekalkan rentak permainannya sepanjang tiga pusingan itu, sekali gus menewaskan pencabar terdekat daripada Program Pembangunan Golf Remaja Kebangsaan (NJDP), Jarvis Liew, yang terpaksa berpuas hati selaku naib juara.
"Saya agak bergelut di penghujung permainan.
"Sejujurnya saya agak tidak berpuas hati dengan catatan hari ini tetapi saya mengambilnya sebagai pelajaran," katanya.
Sementara itu dalam kategori wanita, Amirah Nur Hanania Afanizam, muncul juara keseluruhan dengan 225 pukulan 12 di atas par, sekali gus memperbaiki pencapaiannya selepas sekadar menduduki tempat kelapan Sarawak Premier Cup.
Bagaimanapun, Amirah Nur Hanania mengakui masih belum berpuas hati dengan permainannya, terutama dalam aspek 'green in regulation' yang menurutnya masih perlu dipertingkatkan.
Selepas ini, tumpuannya beralih kepada Sukan Malaysia (Sukma) bersama kontinjen melaka, dengan fokus meningkatkan stamina bagi menghadapi padang yang lebih berbukit, selain mengintai kejayaan dalam acara berpasukan tanpa mengira warna pingat.
"Aspek green in regulation saya perlu diperbaiki.
"Saya rasa perlu kuatkan stamina untuk mengharungi aksi agak berbukit di Glenmarie.
"Kalau kalah sekalipun, saya mahu pastikan catatannya tetap cantik," katanya.