Amelia Lee membuka saingan Kejohanan Golf 100PLUS Persatuan Golf Malaysia (MGA) Program Pembangunan Remaja Kebangsaan (NJDP) 2026 – Pusingan Kedua dengan langkah kanan apabila muncul pendahulu hari pertama kategori perempuan keseluruhan selepas tamat pusingan pertama di Kelab Golf A’ Famosa, Melaka, hari ini.
Amelia mencatat 71 pukulan, satu di bawah par (-1), untuk berada di kedudukan teratas, mengatasi juara keseluruhan kategori wanita Pusingan Pertama, Amirah Nur Hanania Afanizam, yang berada di tempat kedua dengan catatan par 72 pukulan.
Mengulas permainannya, Amelia menyifatkan pusingan pertama sebagai satu permulaan yang baik namun terlepas peluang untuk mencatat lebih banyak birdie.
“Saya rasa hari ini bagus.
"Pukulan driver saya juga baik dan mendapat beberapa putting yang bagus.
"Saya boleh buat lebih banyak birdie, tetapi secara keseluruhannya ia bagus,” katanya.
Amelia turut menyedari saingan terhadap Amirah masih terbuka luas dan kedua-duanya bersedia untuk bersaing secara sihat.
“Amirah dan saya merupakan kawan baik, tetapi saya fikir kami berdua boleh bersaing dan melihat siapa yang dapat bermain dengan lebih baik,” katanya lagi.
Dalam saingan kategori lelaki, Raja Muhammad Syakir Raja Mohd Sukry dan Muhamad Eiqbal Aisy Mohd Elauddin, berkongsi kedudukan pendahulu hari pertama selepas masing-masing mencatat 73 pukulan, satu di atas par (+1).
Syakir yang merekodkan 36 pukulan di sembilan lubang pertama sebelum menamatkan pusingannya dengan 37 pukulan di sembilan lubang terakhir mengakui masih terdapat ruang untuk memperbaiki permainannya, terutama di green.
“Saya rasa saya boleh bermain dengan lebih baik.

"Saya harap dapat memperbaiki permainan di green.
"Saya harap esok saya boleh buat lebih banyak birdie dan bermain dengan lebih baik,” katanya.
Tambahnya lagi, keadaan padang menjadi antara cabaran utama pada hari pertama apabila fairway yang keras dan green yang pantas memerlukan pemain lebih tepat dalam melakukan pukulan bagi memastikan bola berada di kedudukan yang baik.
“Kesukarannya ialah untuk menguasai fairway dan green kerana fairway sangat keras dan green hari ini agak laju,” katanya.
Sementara itu, Eiqbal menyifatkan persembahannya sebagai baik kerana kebanyakan pukulan dilakukan seperti yang dirancang, namun mengakui putting masih perlu diperbaiki.
“Permainan saya hari ini baik. Setiap pukulan mengikut perancangan, cuma kekurangan saya dekat putting kerana banyak tersasar,” katanya.
Eiqbal turut melihat kedudukan pin yang banyak diletakkan di kawasan cerun sebagai cabaran utama di A’ Famosa dan mahu kekal tenang untuk menghadapi pusingan seterusnya.
Keputusan Hari Pertama – Lelaki Keseluruhan
Raja Muhammad Syakir Raja Mohd Sukry – 73 (+1)
Muhamad Eiqbal Aisy Mohd Elauddin – 73 (+1)
Jarvis Liew Zun Xin – 75 (+3)
Khaleed Ikhwan Azim Dato’ Mohd Nafidz – 76 (+4)
Muhammad Farish Abdullah – 76 (+4)
Keputusan Hari Pertama – Perempuan Keseluruhan
Amelia Lee – 71 (-1)
Amirah Nur Hanania Afanizam – 72 (Par)
Choi Quinn-Cie – 73 (+1)
Raissa Ahmad Zuhaili – 74 (+2)
Vikasni Laakshitaa Bala Subramaniam – 77 (+5)