Bekas pengarah prestasi tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj, berkata perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, perlu memikirkan langkah terbaik buat kariernya, sama ada untuk terus bermain atau gantung raket.
Ia selepas pemain itu terpaksa menarik diri dalam aksi final Kejohanan Badminton Masters Thailand hujung minggu lalu.
Advertisement
Kecederaan buku lali yang dialaminya menyaksikan Jin Wei tidak dapat menamatkan kemarau panjang untuk bergelar juara.
Bagaimanapun, James memuji semangat juang juara remaja dunia dua kali itu, yang berusaha bermati-matian sejak pusingan pertama.
Keputusan itu menyaksikan kemarau kejuaraan Jin Wei berlarutan sejak kali terakhir bergelar juara dalam Kejohanan Remaja Dunia pada 2018.
Pencapaian terbaiknya dalam Siri Jelajah BWF pula ialah mara ke separuh akhir Terbuka Hong Kong pada 2023.
"Dia kelihatan tidak berminat sewaktu bermain, saya tidak tahu apa masalahnya," kata James kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
"Dia bermain dengan baik sehingga ke peringkat separuh akhir dan dalam final, anda sepatutnya kelihatan lebih garang tetapi sejak dari awal, dia kelihatan sudah menyerah kalah, seperti sudah tidak mahu bermain.
"Dia ada masalah perut dan pernah menjalani pembedahan, jadi sudah sampai masanya untuk dia tentukan apa yang mahu dia lakukan, sama ada dia mahu terus bermain atau bersara.
"Jika dia mahu terus bermain, dia perlu lebih agresif dan lebih menjiwai permainannya.