Buat pertama kali sebuah kejayaan terasa begitu sunyi.
Itulah yang dirasai jaguh angkat berat negara, Aznil Bidin, yang unggul dengan pingat emas angkat berat kategori 65 kilogram Sukan Komanwel Glasgow, sekali gus mencipta sensasi dengan kejayaan hatrik emas.
Aznil gembira tetapi apabila kejayaan itu tidak lagi dapat diraikan bersama ibu tercinta yang pergi mengadap Ilahi tahun lalu, segalanya terasa hambar.
Atlet berusia 32 tahun itu bukan seorang yang mudah berkongsi emosi, namun air mata badang negara itu tumpah jua apabila perkataan ibu meniti di bibirnya.
"Edisi Sukan Komanwel kali ini terasa lain. Biasanya ada emak tapi kali ini rasa sunyi sikit walaupun menang pingat emas," katanya di Nadi Weekend.
Sementara pada usia yang cukup muda dengan penampilan kali pertama di temasya Sukan Komanwel ini, Mohamad Syahmi Nor Ghazali, pula membuktikan istilah pendedahan tidak terpakai untuk dirinya.
Emas Syahmi hadir dalam kategori 94kg selain turut memecahkan rekod kejohanan dengan jumlah angkatan 347kg.
Hasrat anak muda ini hanya satu, mahu beri kesenangan buat kedua ibu bapanya dan jika sebelum ini dia terpaksa berjimat cermat untuk makan, kejayaan kali pertama ini diharap mampu mengubah kesulitan yang pernah dilalui sebelum ini.
"Saya bukan dari keluarga yang senang jadi saya nak bantu keluarga selain menguruskan diri. Saya pernah terpaksa meminjam duit selepas makan gara-gara terlupa ianya sudah kehabisan," katanya.