Jika ditanya siapa pemain dari Uganda yang paling menyerlah di saingan Netball Super League (NSL) Malaysia anjuran Astro, pastinya ramai akan memilih goal shooter KL Wildcats, Nassanga Shadia – namun persaingan dalam skuad kebangsaan Uganda ketika ini cukup hebat dengan adanya seorang lagi pemain tinggi lampai dengan kemahiran menjaring ala bola keranjang, Mary Cholhok.
Mary mencuri perhatian apabila didaftarkan sebagai pemain bola jaring paling tinggi di Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan memiliki ketinggian 201 sentimeter (sm). Kelibat Mary dikatakan menjadi tarikan utama penonton untuk menyaksikan perlawanan membabitkan Uganda.
Uniknya, Uganda tidak hanya menyenaraikan pemain tinggi lampai seperti Mary dan Nassanga sahaja ke dalam skuad kali ini apabila turut memberi peluang kepada pemain dengan ketinggian 158 sm iaitu Lillian Anchola yang beraksi di posisi centre, untuk turut sama menyerlah.
Penyertaan kali ketiga berturut-turut Uganda di Sukan Komanwel juga membariskan beberapa pemain yang pernah membintangi pasukan di NSL Malaysia seperti Mercy Batamuliza, Haniisha Muhameed dan Nalwanja Shaffie.