Kontinjen Malaysia berjaya mencapai sasaran lima pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 apabila jaguh olahraga para, Datuk Abdul Latif Romly, muncul juara acara lompat jauh T20 lelaki pada awal pagi Rabu.
Apa yang mencuri perhatian penonton dan dapat dirakam lensa kamera adalah tindakan terpuji Latif dalam memastikan bendera Malaysia, Jalur Gemilang, yang mahu dikibarkannya terlebih dahulu berada pada kedudukan yang betul dan tidak terbalik.
Pemenang dua pingat emas Sukan Paralimpik itu juga dilihat tidak lekang dengan senyuman sebaik menamatkan cabaran di Stadium Scotstoun.

Dalam hujan yang agak lebat, Latif meluru ke kawasan penonton bagi mendapatkan Jalur Gemilang untuk dikibarkan dengan penuh rasa bangga. Keterujaan sebagai penyumbang pingat emas kelima Malaysia di Scotland tetap menyaksikan Latif mengambil sedikit masa untuk membetulkan kedudukan bendera – satu tindakan yang dilabel cukup terpuji dan patriotik kepada negara.
Latif melakukan lompatan sejauh 7.17 meter (m) pada percubaan ketiga, menyaksikan catatan itu kekal sebagai terbaik sehingga tamat saingan dan tidak mampu diatasi mana-mana peserta lain.
Kemenangan Latif turut mencipta sejarah sebagai rekod kejohanan kerana acara lompat jauh T20 lelaki merupakan antara acara yang baru dipertandingkan pada temasya kali ini.