Benarkah Shi Yu Qi akan menggantung raket seumur hidup?
Tular di media sosial mengatakan bekas perseorangan lelaki nombor satu dunia itu akan bersara selepas menghadapi temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya, Jepun yang akan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini.
Menurut laporan, kecederaan bahu bekas juara dunia itu menjadi sebab utama kepada perbincangan tersebut, namun belum ada kenyataan rasmi daripada mana-mana pihak setakat ini.
Trauma berterusan buat bintang dari China itu apabila tewas seawal pusingan pertama di tangan Loh Kean Yew menerusi kekalahan straight set 11-21, 10-21 dalam Kejohanan Badminton Masters China 2026 baru-baru ini.
Malah, dia turut gagal mempertahankan gelaran juara Kejohanan Badminton Dunia BWF 2026 tatkala turut berputih mata pulang seawal pusingan pertama.
Sepanjang kariernya, pemain berusia 30 tahun itu telah memenangi 15 gelaran siri jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dengan Terbuka China menjadi kejuaraan terakhirnya pada tahun lalu.
Yu Qi turut menjuarai Piala Sudirman, Piala Thomas dan Kejuaraan Asia selaku sandaran utama negaranya.
Meskipun mengecap pelbagai kegemilangan, dia masih belum memenangi pingat emas Sukan Olimpik. Yu Qi belum pernah mara ke final kejohanan paling berprestij itu setakat ini.
Adakah dia bakal melupakan impian beraksi di Los Angeles (LA) 2028?