Masa depan Cristiano Ronaldo di peringkat antarabangsa menjadi tanda tanya apabila dia secara tiba-tiba meninggalkan kem latihan Portugal di Copenhagen, sejurus selepas jurulatih, Jorge Jesus, mengakui wujudnya ketegangan antara mereka berdua.
Pemain berusia 41 tahun itu meninggalkan kem tersebut sehari sebelum perlawanan Portugal menentang Denmark dalam sainganLiga Negara-Negara Eropah (UNL).
Menerusi Instagram, Ronaldo menyatakan bahawa keputusan dibuat selepas sidang media Jesus dan perbincangan dengan Presiden Persekutuan Bolasepak Portugal (FPF), Pedro Proenca, sambil menambah akan mendedahkan sebab-sebabnya "pada masa yang sesuai".
"Saya telah memutuskan untuk meninggalkan kem latihan pasukan kebangsaan," tulis Ronaldo.
"Pada masa yang sesuai nanti, saya akan mendedahkan perkara sebenar kepada seluruh rakyat Portugal mengenai sebab-sebab saya meninggalkan pasukan kebangsaan, pasukan yang sentiasa saya berikan komitmen sepenuhnya.
🚨⚠️ Cristiano Ronaldo: “In time, I will tell all the Portuguese the truth about the reasons that motivated me to leave the national team, to which I always devoted myself”. pic.twitter.com/CIbmDAGiDw
— Fabrizio Romano (@FabrizioRomano) September 30, 2026
"Kini tiba masanya untuk saya mendoakan kejayaan buat Portugal dan semua rakan sepasukan saya."
Insiden ini menimbulkan persoalan sama ada karier bekas bintang Manchester United menghampiri penghujungnya.
Bekas jurulatih Al-Nassr itu mengambil alih tugas daripada Roberto Martinez selepas kempen Piala Dunia 2026 yang mengecewakan bagi Portugal.
Jesus menafikan dakwaan bahawa Ronaldo enggan menjalani latihan dan menggesa wartawan supaya tidak mencetuskan kontroversi.
Jesus turut menyatakan tiada sebarang insiden berlaku, walaupun mengesahkan ada bercakap dengan Ronaldo.
"Ronaldo marah kepada saya, tetapi bagi saya, perkara itu sudah berlalu," kata Jesus.
Ronaldo merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Portugal dengan 146 gol dan pemain yang paling banyak membuat penampilan untuk pasukan itu, iaitu sebanyak 234 kali.