Ketua jurulatih futsal Selangor, Edgar Baldasso, berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempertimbang semula pembatalan penganjuran Piala Futsal Malaysia 2026 demi memastikan kelansungan kerancakan saingan domestik.
Untuk rekod, Gergasi Merah muncul juara edisi lalu selepas meraih kemenangan besar 13-3 ke atas Pahang Rangers dalam perlawanan final yang berlangsung di N9 Arena, Nilai Negeri Sembilan.
Advertisement
Terdahulu, media tempatan melaporkan dakwaan pembatalan kejohanan oleh FAM. Dan, badan induk itu pantas menjawab khabar angin itu dengan alasan penyelarasan semula kalendar pertandingan, komitmen pasukan yang bertanding serta isu logistik dan infrastruktur.
"Kami masih menunggu keputusan.
"Buat masa ini sememangnya tiada, namun apa sahaja boleh berlaku dalam masa singkat.
"Ekosistem futsal sangat penting. Saya sangat berharap mereka mempertimbang keputusan ini untuk memiliki satu lagi kejohanan piala selain liga," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Dalam masa sama, Baldasso memasang impian untuk menamatkan kemarau tiga musim tanpa kejuaraan dalam saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2026.
Pengendali berusia 39 tahun itu mengesahkan tiada rombakan besar-besaran dalam pasukannya musim ini, dengan hanya membawa masuk seorang tonggak import baru iaitu bintang Piala Dunia Brazil, Marlon Oliveira.
"Ini adalah sasaran saya sejak tahun pertama saya melatih pasukan ini.
"Tetapi, Selangor sangat berbeza sejak kali pertama saya sampai di sini.
"Gabungan pemain muda, senior dan import menghasilkan sebuah pasukan yang stabil.
"Dengan pemain berpengalaman dapat membantu untuk merealisasikan impian ini," katanya lagi.