Bekas juara dunia heavyweight, Tyson Fury, mempamerkan aksi meyakinkan apabila memaksa pencabarnya dari Poland, Mariusz Wach, menarik diri dalam pertarungan pemanas badan menjelang pertemuan dinanti-nantikan menentang Anthony Joshua hujung tahun ini.
Pertarungan yang berlangsung di Stadium Max Muay Thai, Pattaya, Thailand itu tidak disiarkan secara langsung, namun akan dipaparkan menerusi siri realiti Netflix, 'At Home with The Furys.'
Kira-kira 1,500 penyokong hadir menyaksikan aksi tersebut.
Fury menguasai pertarungan sejak awal sebelum Wach gagal meneruskan saingan ketika permulaan pusingan kelapan, sekali gus menghadiahkan kemenangan selesa buat petinju Britain itu.
Wach, 46, memasuki gelanggang dengan rekod kurang memberangsangkan selepas tewas dalam tujuh daripada 10 pertarungan terakhirnya.
Bagi Fury yang bakal menyambut ulang tahun ke-38 pada Ogos, kemenangan itu menjadi suntikan keyakinan menjelang pertarungan mega yang sekian lama dinantikan peminat tinju.
Setakat ini, Fury memiliki rekod profesional 36 kemenangan dengan hanya dua kekalahan, kedua-duanya ketika menentang juara Ukraine, Oleksandr Usyk, pada 2024.
Sementara itu, Anthony Joshua turut dijadual beraksi dalam satu lagi pertarungan pemanas badan apabila akan menentang Kristian Prenga di Arab Saudi pada Sabtu.
Jika kedua-duanya melepasi ujian masing-masing tanpa sebarang masalah, tumpuan dunia tinju dijangka beralih sepenuhnya kepada kemungkinan pertarungan blockbuster antara Fury dan Joshua, yang dianggap antara pertarungan paling dinanti-nantikan dalam era moden tinju heavyweight.