Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Xisco Munoz, kekal tenang meskipun kehilangan beberapa tonggak utama menjelang final Piala FA Malaysia 2025/26 menentang Sabah di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
Dalam sidang media praperlawanan yang berlangsung hari ini, Munoz sahkan dia terpaksa melupakan khidmat penyerang import prolifik, Bergson Da Silva, Romel Morales selain Ariff Aiman yang berada dalam senarai kecederaan pasukan.
Advertisement
Munoz percaya barisan pemain sedia ada mampu galas cabaran JDT dalam merealisasikan misi mempertahan gelaran kejuaraan Piala FA bagi tahun keempat berturut-turut sejak edisi 2022.
Jurulatih berusia 45 tahun itu turut mengingatkan anak buahnya agar berwaspada dengan cabaran yang bakal ditampilkan The Rhinos terutamanya selepas Sabah mempamerkan aksi konsisten dalam kempen Piala FA musim ini.
"Kami kehilangan pemain penting. Maka mana-mana pemain yang dipilih untuk beraksi perlu memberikan aksi terbaik dan mengikut gaya permainan kami.
"Perkara paling penting adalah kami tidak boleh terlalu yakin, ia hanya satu perlawanan akhir. Paling penting adalah semua pemain perlu fahami mereka bukan sahaja perlu berikan 100% tetapi 200% tanpa mengira siapa yang beraksi." katanya.