Ketua jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido menuntut anak buahnya mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan akhir kedua MFL Challenge Cup menentang Penang FC di Stadium Likas, yang dianggap sebagai penentu musim ini.
Beliau menyifatkan perlawanan tersebut sebagai aksi “hidup mati” buat The Rhinos dalam usaha memburu kejuaraan pertama musim ini.
“Untuk final ini, kami perlu terus berusaha dan berkembang. Keputusan hari ini baik, bukan hanya pada jaringan tetapi juga dari segi persembahan.”
Garrido turut menekankan kepentingan konsistensi sepanjang permainan, bukan sekadar dalam tempoh tertentu.
“Separuh masa pertama adalah tentang keserasian pemain dengan suasana stadium, tetapi kami tidak boleh bermain hanya 50 atau 60 minit, kami perlu kekal fokus hingga 90 atau 120 minit.”
Sabah hadir dengan keyakinan selepas mengikat Selangor 1-1 dalam aksi Liga Super, sekali gus memberi petanda positif menjelang final.
Ini juga merupakan final kedua buat Sabah musim ini selepas mara ke pentas akhir Piala FA, dan mereka berazam menebus kekecewaan tewas kepada Johor Darul Tazim FC sebelum ini.
Garrido mengakui pertemuan dengan Penang bukan tugas mudah, namun percaya pasukannya sudah bersedia sepenuhnya.
“Ini perlawanan paling penting buat kami musim ini. Kami perlu fokus 100 hingga 120 peratus. Kami tahu Penang pasukan yang baik, tetapi kami perlu membuat persiapan lebih rapi untuk memenangi kejuaraan.”
Dengan sokongan padu di Likas dan momentum positif, Sabah kini hanya selangkah untuk menjulang trofi dan menutup musim dengan penuh bergaya.