Ketua jurulatih USM, Azizul Ahmad Sabri, menegaskan pasukannya sudah siap sedia bagi hadapi AZM Rovers di pentas final Liga A2 Amateur 2025/2026 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, esok.
USM yang mara ke final dengan rekod bersih tanpa tewas di peringkat Zon Utara bagaimanapun terpaksa melupakan khidmat dua tonggak utama di bahagian serangan iaitu Aminuddin Abu Bakar serta Saif Adam Iskandar yang berdepan penggantungan kad kuning.
Advertisement
Azizul percaya pemain sedia ada mampu menggalas tanggungjawab yang bakal diberikan sekali gus mencipta sejarah muncul juara edisi kali ini.
"Untuk persiapan kami lebih fokus kepada rancangan dariapda aspek serangan dan pertahanan, pemain USM bebas kecederaan dan mempunyai dua pemain digantung akibat kad kuning.
"Saya ada pemain gantian yang boleh galas tanggungjawab, mental dan fizikal pemain kami sudah bersedia," katanya.
Sementara itu, di kem AZM Rovers, pengendali pasukan, Wan Mohd Tarmizi, memaasang impian untuk melebur rekod bersih USM meskipun mereka turun dengan status pasukan bukan pilihan.
Lebih melegakan lagi barisan kejurulatihan pasukan, tiada isu kecederaan serta penggantungan pemain utama yang menyaksikan kesebelasan terbaik akan dipertaruhkan kelab yang berpengkalan di Kok Lanas, Kelantan itu.
"Memang kami jangkakan aksi sukar, kami pasukan underdog. USM belum pernah tewas namun dengan kekuatan penuh pasukan kami akan cuba leburkan rekod itu." katanya.