Kecewa, namun tiada istilah menyerah kalah, kata ketua jurulatih Selangor, Kim Pan-gon, selepas pasukannya tewas tipis 0-1 kepada Buriram United dalam aksi final pertama Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Shopee Cup di Stadium Petaling Jaya malam tadi.
Pengendali kelahiran Korea Selatan berkenaan menggesa pasukannya untuk segera melupakan kekalahan itu dan memberikan fokus sepenuhnya untuk bangkit dalam aksi timbal balik di Arena Chang, Buriram, minggu depan.
"Keputusan ini amat mengecewakan, kami tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya kelebihan di laman sendiri," katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Kami agak bergelut dalam babak pertama. Kami perlu mengurangkan kesilapan yang dilakukan, ia terlalu banyak.
"Dalam babak kedua amat baik. Kami mengawal permainan dan mencipta banyak peluang.
"Masih ada 90 minit di tempat lawan, yang pastinya akan mencabar tetapi sebagai Selangor, kami perlu sentiasa kuat untuk bangkit dengan kuat bagi membanggakan penyokong Selangor dan negara.
"Kami akan mencuba yang terbaik untuk berehat dan bersedia dengan sepenuhnya bagi perlawanan itu."