Skip to main content

Permotoran

FIM ARRC: 'Saya Tengok gambar Ibu Bapa dulu' -- Ramdan Rosli buktikan pengorbanan berbaloi di Sepang

FIM ARRC: 'Saya Tengok gambar Ibu Bapa dulu' -- Ramdan Rosli buktikan pengorbanan berbaloi di Sepang

“Sebelum saya berlumba, saya akan tengok gambar ibu bapa saya," itu luahan penuh emosi pelumba negara, Ramdan Rosli ketika ditanya mengenai sumber kekuatan yang mendorong kejayaannya dalam saingan FIM Asia Road Racing Championship (ARRC).

Bagi Ramdan, hanya ibu bapanya yang benar-benar memahami liku-liku perjalanan yang ditempuh untuk sampai ke tahap ini -- daripada pengorbanan masa, tenaga hingga berdepan pelbagai cabaran dalam dunia permotoran.

Advertisement

Perjalanan kariernya bukan mudah. Malah, beliau pernah dipandang sepi dan diragui kebolehannya sebagai pelumba.

“Sukan permotoran boleh pergi mana sangat?”, itu antara kata-kata yang sering bermain di fikirannya suatu ketika dahulu. Namun, segala persepsi negatif itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus mengejar impian.

Minat mendalam terhadap sukan permotoran sejak usia muda menjadi titik tolak kepada kebangkitan Ramdan, yang kini membuktikan kemampuannya di pentas antarabangsa.

Segala usaha kerasnya akhirnya membuahkan hasil apabila beliau muncul juara perlumbaan kedua kategori TVS Racing International Championship dalam aksi pembukaan ARRC 2026 di Litar Antarabangsa Sepang.

Lebih manis, kejayaan itu hadir selepas beliau menamatkan perlumbaan pertama di tempat kedua pada Sabtu, sekali gus melengkapkan hujung minggu cemerlang buat pelumba negara tersebut.

Kejayaan ini bukan sahaja menutup segala kritikan yang pernah dilemparkan, malah membuktikan bahawa kerja keras dan kepercayaan kepada diri sendiri mampu mengatasi segala keraguan.

“Apa yang saya capai hari ini adalah untuk keluarga saya. Mereka adalah kekuatan sebenar saya,” katanya.

Dengan permulaan musim yang cukup memberangsangkan, Ramdan kini dilihat sebagai antara prospek terbaik negara untuk terus mencipta impak dalam kempen ARRC 2026.

 

Topik Berkaitan

Must Watch Video