Skip to main content

Advertisement

Sukan

FIM ARRC: Hafizh yakin jentera sedia ada mampu gegar Sepang, Muzakkir harungi fasa adaptasi

Hafizh yakin jentera sedia ada mampu gegar Sepang, Muzakkir harungi fasa adaptasi

Pelumba ASB1000 JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah kekal optimis jentera sedia ada mampu memberikan saingan sengit pada aksi FIM Asia Road Racing Championship (ARRC) hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Sepang.

Meskipun pasukan masih belum menerima jentera baharu berikutan beberapa kekangan teknikal, pelumba yang dikenali sebagai 'Pescao' itu percaya kemampuan jentera semasa masih berada pada tahap kompetitif, hasil penelitian dan persiapan rapi pasukan.

Advertisement

Beraksi di laman sendiri menjadi motivasi tambahan buat Hafizh yang merancang menggunakan strategi lebih tajam bagi memburu kemenangan di Sepang.

Keyakinan itu disandarkan kepada prestasi memberangsangkan dalam sesi latihan awal apabila beliau mencatat masa terpantas 2 minit 6.365 saat, sekali gus membuktikan jentera Ducati berada pada tahap optimum untuk bersaing.

“Walaupun belum guna jentera baharu, kami yakin dengan apa yang ada sekarang. Yang penting adalah konsistensi dan strategi perlumbaan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Muzakkir Mohamed mengakui berdepan cabaran getir dalam menyesuaikan diri selepas beralih daripada kategori TVS Asia One Make kepada Underbone 150.

Menurutnya, peralihan itu menuntut adaptasi menyeluruh dari segi teknik tunggangan, pemahaman jentera serta strategi perlumbaan bagi membolehkannya bersaing di kelompok hadapan.

Muzakkir yang membuat penampilan sulung bersama VOG AS25 Racing Team turut mendedahkan bahawa peluang tersebut hadir daripada bekas pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman yang banyak membimbingnya dalam fasa peralihan ini.

“Memang mencabar, banyak perkara perlu dipelajari semula. Tapi saya anggap ini peluang untuk berkembang dan jadi lebih baik,” jelasnya.

Walaupun mengakui jentera yang digunakan belum mencapai tahap prestasi sebenar, Muzakkir tetap berkongsi hala tuju sama dengan pasukan -- memburu kejayaan dan memberi saingan terbaik dalam musim ini.

Dengan kombinasi pengalaman Hafizh serta semangat baharu Muzakkir, kem Malaysia dilihat bersedia menghadapi cabaran sengit ARRC 2026 yang membuka tirai di Sepang.

Topik Berkaitan

Must Watch Video