Juara bertahan ASB1000, Hafizh Syahrin Abdullah, memulakan kempen FIM Asia Road Racing Championship 2026 dengan penuh bergaya apabila meraih kemenangan berganda di Litar Antarabangsa Sepang.
Pelumba JDT Racing Team itu membuktikan statusnya sebagai pencabar utama kejuaraan apabila menjuarai kedua-dua perlumbaan pusingan pertama -- sekali gus memberikan amaran awal kepada pesaing musim ini.
Advertisement
Dalam perlumbaan pertama, Hafizh mempamerkan tunggangan dominan dengan mendahului sejak awal sebelum menamatkan saingan dengan kelebihan selesa ke atas pencabar terdekat.
Momentum cemerlang itu diteruskan dalam perlumbaan kedua apabila dia sekali lagi tampil konsisten untuk melengkapkan kemenangan berganda -- pencapaian yang cukup signifikan dalam usaha mempertahankan kejuaraan musim ini.
Kejayaan tersebut turut membuktikan keupayaan jentera Ducati yang berada pada tahap optimum, selain hasil persiapan rapi pasukan menjelang musim baharu.
Lebih manis, kemenangan di laman sendiri ini hadir selepas Hafizh melalui persaingan sengit serta tekanan tinggi sebagai juara bertahan, namun tetap berjaya mengawal perlumbaan dengan pengalaman dan ketenangan.
Kemenangan berganda ini meletakkan Hafizh di landasan terbaik untuk mempertahankan gelaran ASB1000, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pelumba elit Asia ketika ini.
Dengan baki musim yang masih panjang, permulaan sempurna di Sepang jelas memberi kelebihan psikologi buat Hafizh dalam memburu satu lagi musim gemilang di pentas ARRC.
Sementara itu, kategori Supersport 600cc pula menyaksikan Kasma Daniel Kasmayuddin berjaya mengubati duka pada perlumbaan pertama sebaik muncul terpantas pada perlumbaan kedua ini.
Ternyata doa seorang ibu dan juga isterinya menjadi pemangkin kepada kejayaannya.