Cardinals Racing Malaysia mencipta lembaran baharu dalam perjalanan mereka di pentas serantau apabila secara rasmi melancarkan penyertaan bagi musim terbaharu FIM Asia Road Racing Championship (ARRC), bersama kemasukan penaja utama baharu dari sektor perbankan.
Majlis pelancaran serta menandatangani kerjasama itu menjadi detik penting buat pasukan berkenaan, yang buat pertama kalinya menerima sokongan daripada institusi kewangan selepas enam musim bersaing dalam kejuaraan tersebut.
Advertisement
Pengarah pasukan, Wong Kok Fatt, menjelaskan bahawa fokus utama musim ini adalah untuk memperbaiki isu teknikal jentera yang sebelum ini menjejaskan prestasi pasukan.
“Kami telah meneliti segala kelemahan musim lalu, khususnya dari aspek teknikal. Musim ini, kami tampil dengan persiapan lebih rapi untuk memastikan prestasi lebih konsisten,” katanya.
Dengan suntikan moral dan sokongan daripada penaja baharu, Cardinals Racing kini meletakkan sasaran lebih tinggi -- memburu podium pertama mereka di Litar Antarabangsa Sepang yang bakal berlangsung minggu ini.
Semangat optimis turut dikongsi pelumba pasukan, Ahmad Fazrul Sham, yang percaya peningkatan dari segi teknikal dan strategi mampu memberikan kelebihan kepada pasukan untuk bersaing dengan pencabar utama.
“Kami lebih bersedia musim ini, dan semua dalam pasukan bekerja keras untuk capai keputusan terbaik. Sasaran kami jelas -- podium,” ujarnya.
Dengan kombinasi pengalaman, persiapan rapi serta sokongan kukuh, Cardinals Racing Malaysia dilihat berada di landasan tepat untuk menjadikan musim ini sebagai titik perubahan dalam usaha mencipta impak lebih besar di arena perlumbaan Asia.