Thailand terpaksa memperkenalkan jersi kebangsaan versi baharu selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan beberapa elemen pada rekaan asal digugurkan bagi mematuhi peraturan badan induk dunia tersebut.
Pengeluar jersi jenama dari Thailand, Warrix, mengesahkan versi asal yang menampilkan corak lirik lagu kebangsaan pada tenunan fabrik tidak lagi digunakan dan terpaksa digantikan dengan rekaan yang lebih ringkas.
Perubahan itu dilakukan selepas FIFA menetapkan bahawa sebarang slogan, kenyataan, imej atau elemen yang mempunyai kaitan dengan politik, agama atau perkara bersifat peribadi tidak boleh dipaparkan pada peralatan pemain ketika pertandingan di bawah kendalian mereka.
Rekaan baharu itu dijangka digunakan dalam kempen antarabangsa Thailand akan datang termasuk Piala ASEAN FIFA 2026 yang kini berlangsung di Indonesia.
Skuad Gajah Perang di bawah kendalian ketua jurulatih, Anthony Hudson, bakal memulakan kempen Kumpulan B menentang Pakistan di Stadium Jalak Harupat, Bandung petang ini.