Skip to main content

Berita Sukan Am

Festival Hari Belia Negara di Bukit Jalil berlangsung meriah

Festival Hari Belia Negara di Bukit Jalil berlangsung meriah

Piazza Pavilion Bukit Jalil menjadi tumpuan pengunjung sempena Festival Hari Belia Negara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2026 yang berlangsung meriah.

Festival yang berlangsung selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Mei itu menghimpunkan hampir 70 program dan aktiviti melibatkan pelbagai pengisian untuk golongan belia.

Antara acara utama yang mendapat perhatian pengunjung termasuk kejohanan silat terbuka, karnival kerjaya belia, pameran agensi kerajaan, aktiviti sukan rakyat serta pelbagai program interaktif yang disediakan khusus bagi menarik penyertaan generasi muda.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabran Abd Bahar berkata, festival itu dianjurkan sebagai platform untuk menghargai dan mengiktiraf peranan belia dalam pembangunan negara.

Menurut beliau, sambutan yang diterima setakat ini cukup menggalakkan dan membuktikan golongan muda masih aktif melibatkan diri dalam program pembangunan komuniti serta aktiviti sosial.

“Festival ini bukan sahaja menjadi medium hiburan dan santai kepada belia, malah membuka ruang kepada mereka untuk mendapatkan maklumat berkaitan kerjaya, pendidikan, keusahawanan dan pembangunan diri,” katanya.

Tambah beliau, penganjuran festival itu juga selari dengan usaha kerajaan untuk memperkasakan belia sebagai aset penting negara selain menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan generasi muda.

Suasana di Piazza Pavilion Bukit Jalil turut dimeriahkan dengan kehadiran keluarga serta pengunjung pelbagai lapisan umur yang mengambil peluang menyertai aktiviti disediakan sepanjang festival berlangsung.

Must Watch Video