Skip to main content

Bola Sepak

Farizal jangka ujian berat menanti JDT di Hiroshima

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

Farizal jangka ujian berat menanti JDT di Hiroshima

Bekas tonggak Johor Darul Ta'zim, Farizal Marlias, menyifatkan misi ‘away days’ di bumi Jepun sebagai satu pertarungan luar biasa apabila gergasi bola sepak tanah air itu bakal sekali lagi berentap dengan Sanfrecce Hiroshima dalam aksi pusingan 16 terbaik AFC Champions League Elite (ACLE).

Menurut Farizal yang ditemu bual wartawan sukan, Zulhelmi Zainal Azam, skuad bimbingan Xisco Muñoz dijangka berdepan gelombang tekanan lebih besar berbanding pertemuan peringkat kumpulan sebelum ini.

Advertisement

JDT mencetus sensasi apabila mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati selepas menundukkan Vissel Kobe 1-0 dalam aksi terakhir kumpulan di laman sendiri. Kemenangan itu bukan sahaja menghidupkan peluang, malah membakar keyakinan Harimau Selatan untuk terus melangkah lebih jauh di pentas Asia.

Menamatkan saingan Zon Timur di kedudukan keenam, juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu sekali lagi diundi bertemu Sanfrecce Hiroshima -- lawan yang pernah menewaskan mereka 2-1 di Jepun pada aksi peringkat kumpulan.

Bagi Farizal, aksi di tempat lawan menuntut kekuatan mental yang luar biasa, “Ini perlawanan berintensiti tinggi.

"Bermain di Jepun bukan mudah, apatah lagi dalam suasana kalah mati. Tekanan penyokong tuan rumah dan disiplin taktikal lawan akan jadi cabaran utama,” jelasnya.

"Namun ia tidak menolak peluang JDT mencipta kejutan susulan mereka baru sahaja merekodkan kemenangan ke atas lawan dari Jepun."

Untuk rekod, JDT masih belum pernah mencatat kemenangan ke atas kelab Jepun di tempat lawan. Namun, mereka memiliki memori manis di laman sendiri apabila menewaskan Vissel Kobe serta Kashima Antlers pada 2019.

Farizal yang membuat 222 penampilan bersama JDT dan merekodkan 102 ‘clean sheets’ percaya kemenangan ke atas Vissel Kobe sebelum ini mampu menjadi pemangkin semangat buat skuad Harimau Selatan.

Walaupun rekod tidak memihak kepada JDT di bumi Jepun, Farizal optimis pengalaman beraksi di pentas Asia sejak beberapa musim lalu memberi kelebihan tersendiri.

Aksi di Hiroshima ini bukan sekadar perlawanan biasa -- ia adalah peluang untuk JDT memecahkan dominasi psikologi di gelanggang lawan dan membuktikan bahawa kelab Malaysia juga mampu berdiri sama tinggi dengan kuasa bola sepak Asia Timur.

Must Watch Video