Bekas pembimbing jurulatih dan pencarian bakat Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan (NFDP), Datuk Richard Scully, menuntut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membentuk badan berkecuali untuk memantau prestasi semasa barisan kejurulatihan baru NFDP, yang diumumkan baru baru ini.
Ia meliputi prestasi semua jurulatih, termasuk Pengarah Teknikal NFDP, Datuk Ong Kim Swee, yang memulakan tugasan secara rasmi bulan lalu.
Advertisement
Ia dianggap sebagai satu keperluan memandangkan hal yang sama juga diguna pakai ketika NFDP berada di bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi pengawasan Majlis Sukan Negara (MSN).
"Ini adalah satu tanggungjawab besar dan saya juga memohon kepada FAM untuk mewujudkan badan berkecuali bagi memantau prestasi dan perkembangan setiap jurulatih, termasuk pengarah teknikal," katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Ini kerana mereka sedang berurusan dengan pelajar.
"Rata-rata nama yang disenaraikan, semuanya gah dan bagus tetapi ia pengalaman di peringkat senior.
"Dalam pembangunan, ia memelukan kesabaran, ketelusan, tatakelola dan integriti."