Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini menjelaskan akan memohon laporan bertulis daripada Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi mendapatkan alasan keputusan berhubung hukuman yang diberikan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio, mendapati FAM telah melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025) kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam tiga Perlawanan Antarabangsa Tier 1 berdepan Cape Verde (29 Mei), Singapura (4 September) dan Palestin (8 September).
Advertisement
Ia membabitkan tujuh pemain warisan negara iaitu Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Facundo Garces, Jon Irazabal, Gabriel Palmero dan Hector Hevel.
FAM diberikan hukuman kekalahan teknikal 3-0 dalam tiga perlawanan itu selain turut dikenakan hukuman denda sebanyak CHF10,000 (RM51,414).
"FAM akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebelum mempertimbang langkah seterusnya yang akan diambil berhubung perkara ini." kongsinya.
Terdahulu, Jawatankuasa Rayuan FIFA menerusi laporan setebal 64 muka surat mengemukakan sebab menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung dakwaan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC), berkaitan pemalsuan dokumen.
FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan itu.