Skip to main content

Bola Sepak

Fahmi Fadzil pemangkin kebangkitan KL City, kebajikan pemain terpelihara tanpa tunggakan gaji

s

Kehadiran Penaung Kuala Lumpur City (KL City) FC, Datuk Seri Fahmi Fadzil disifatkan sebagai antara faktor penting yang menjadi pemangkin kepada usaha memartabatkan semula bola sepak Kuala Lumpur, sekali gus mengukuhkan pembangunan sukan itu di peringkat nasional.

Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar menegaskan komitmen Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi bukan sekadar memberi sokongan kepada pasukan, malah turut memastikan aspek kebajikan pemain, pegawai serta pembangunan keseluruhan kelab sentiasa menjadi keutamaan.

Menurut beliau, di bawah peranan Fahmi Fadzil sebagai penaung sejak 2024, KL City berjaya menguruskan kewangan dengan lebih tersusun sehingga semua pembayaran gaji pemain dan pegawai dapat diselesaikan mengikut jadual tanpa sebarang tunggakan.

"Alhamdulillah, kesemua pembayaran gaji berjaya diselesaikan. Ini bermakna sepanjang musim 2025-2026, semua gaji pemain dan pegawai berjaya dibayar sepenuhnya tanpa sebarang tunggakan.

"Keadaan ini jelas membuktikan keprihatinan serta rasa tanggungjawab tinggi Datuk Seri Fahmi Fadzil terhadap kebajikan setiap pemain dan pegawai pasukan. Beliau sentiasa memastikan mereka dapat memberikan sepenuh fokus kepada prestasi di atas padang tanpa dibebani isu kebajikan," katanya.

 

 

 

Syed Yazid berkata, kepimpinan Fahmi Fadzil turut memberikan keyakinan kepada seluruh penyokong The City Boys apabila kestabilan kewangan berjaya dikekalkan, sekali gus meletakkan KL City sebagai sebuah pasukan yang mengutamakan kebajikan pemain serta pengurusan profesional.

Beliau berkata, selain memastikan kebajikan warga pasukan sentiasa terpelihara, Fahmi Fadzil juga banyak memudahkan pelbagai urusan melibatkan pembangunan infrastruktur dan operasi pasukan.

"Beliau sentiasa membantu membuka ruang serta memudahkan pelbagai urusan demi memastikan KL City terus berkembang sebagai sebuah kelab yang lebih kompetitif.

"Komitmen beliau bukan hanya tertumpu kepada soal pentadbiran, malah turut melibatkan usaha memperkukuhkan infrastruktur dan ekosistem bola sepak Kuala Lumpur bagi manfaat jangka panjang," katanya.

Menurut Syed Yazid, hubungan erat Fahmi Fadzil dengan pelbagai agensi kerajaan khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Datuk Bandar Kuala Lumpur turut membawa manfaat besar kepada pembangunan bola sepak ibu negara.

Katanya, hubungan baik itu membolehkan pelbagai perkara berkaitan pembangunan pasukan dibincangkan secara lebih berkesan, termasuk usaha mendapatkan pertimbangan DBKL bagi meningkatkan peruntukan tahunan KLFA.

"Sudah tentu sokongan tambahan daripada DBKL akan memberikan impak yang besar kepada pembangunan bola sepak Kuala Lumpur pada masa depan," katanya.

Syed Yazid turut menegaskan kehadiran Fahmi Fadzil sebagai penaung sejak 2024 memberi dimensi baharu kepada pengurusan KL City apabila kelab berjaya mengekalkan rekod bebas daripada sebarang tunggakan di bawah kepimpinan baharu beliau selaku Presiden KLFA.

Menurutnya, pencapaian itu membuktikan kesungguhan semua pihak dalam mengembalikan keyakinan terhadap bola sepak Kuala Lumpur dengan mengutamakan tadbir urus yang baik, kebajikan pemain serta kestabilan kewangan.

"Datuk Seri Fahmi Fadzil sentiasa memberikan sokongan penuh kepada usaha memartabatkan bola sepak Kuala Lumpur. Beliau memahami bahawa kekuatan sesebuah pasukan bukan hanya bergantung kepada prestasi di atas padang, tetapi juga kepada kebajikan pemain, kestabilan pengurusan dan pembangunan yang mampan.

"Kami percaya komitmen beliau akan terus menjadi pemangkin kepada kebangkitan KL City dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara secara keseluruhannya," katanya.

Mengulas lanjut, Syed Yazid berkata, kestabilan yang diwujudkan di bawah kepimpinan Fahmi Fadzil turut memberi impak besar kepada pembangunan bola sepak negara apabila KL City terus menjadi antara kelab yang melahirkan pemain berkualiti untuk skuad Harimau Malaya.

Katanya, suasana profesional, kebajikan pemain yang sentiasa terpelihara serta pengurusan yang stabil membolehkan setiap pemain memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap prestasi di atas padang, sekali gus meningkatkan kualiti permainan mereka.

"Contoh paling jelas ialah Paulo Josué yang berkembang sebagai antara tonggak utama KL City sebelum berjaya menyarung jersi Harimau Malaya. Ini membuktikan apabila sesebuah kelab diurus dengan baik dan kebajikan pemain dijaga, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada kelab, malah turut menyumbang kepada kekuatan pasukan kebangsaan.

"Kita mahu melihat lebih ramai pemain KL City mengikut jejak langkah itu pada masa depan. Sebab itu saya percaya sokongan dan komitmen Datuk Seri Fahmi Fadzil bukan sekadar membantu KL City, tetapi secara tidak langsung turut menyumbang kepada pembangunan landskap bola sepak negara," katanya.

Anda mungkin berminat dengan

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Must Watch Video