Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sudah melakukan pelbagai persiapan bagi memastikan kelancaran perlumbaan bersejarah yang bakal berlangsung selepas kali terakhir dianjurkan pada 2017.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, berkata, pihaknya sudah bertungkus-lumus menyediakan segala keperluan bagi memastikan perlumbaan berkenaan berlangsung dalam keadaan ideal.
Namun, dia mengakui faktor cuaca dan keadaan semasa, termasuk isu jerebu, perlu dipantau dari semasa ke semasa.
“Pelbagai persiapan yang kita lakukan menjurus kepada keadaan yang ideal. Tetapi kalau keadaan tidak ideal, kita kena lihat keadaan semasa pada ketika itu.
“Dari segi jerebu, kita ada nilai ambang (IPU untuk membatalkan atau menangguhkan perlumbaan). Dengan pembenihan awan, kita harap hujan yang turun dapat mengurangkan jerebu dan tahap IPU tidaklah setinggi yang dijangkakan,” katanya.
Sementara itu, aspek keselamatan turut diberi perhatian serius sepanjang berlangsungnya acara berkenaan.
Ketua Polis Daerah KLIA, ACP M. Ravi berkata seramai 700 pegawai dan anggota Kontinjen Selangor akan ditugaskan bagi memastikan kelancaran aliran trafik serta menjalankan rondaan keselamatan di sekitar litar SIC sepanjang acara berlangsung.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memastikan mereka memiliki tiket acara atau pelekat parkir kenderaan yang sah sebelum hadir ke SIC.
“Bukan zon tertentu sahaja, sebaliknya semua tempat di SIC memerlukan tiket yang sah untuk masuk.
“Nasihat saya, sekiranya tiada tiket acara atau pelekat parkir kenderaan, jangan datang kerana anda pasti tidak dibenarkan masuk dan akan dilencongkan serta-merta,” katanya.
Persiapan rapi daripada pihak SIC bersama pasukan keselamatan itu diharap dapat memastikan penganjuran perlumbaan bersejarah berkenaan berjalan lancar, selain memberikan pengalaman terbaik kepada peminat sukan permotoran yang hadir.