Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berpotensi membuat kemunculan semula dalam kalendar Formula 1 (F1) musim ini.
Selepas hampir sedekad menyepi, Malaysia menjadi sebutan apabila F1 sedang menilai semula usaha untuk mengembalikan Grand Prix Bahrain, yang sebelum ini dibatalkan akibat konflik Iran.
Sekiranya dipilih, perlumbaan itu dijangka mengisi slot di antara GP Azerbaijan pada penghujung September depan dan GP Singapura pada awal Oktober depan, sekali gus dapat membantu Formula 1 mengekalkan jumlah perlumbaan yang dirancang sepanjang musim.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, turut mengesahkan kerajaan sudah menerima makluman awal mengenai kemungkinan penganjuran semula perlumbaan itu di Malaysia sejak kali terakhir diadakan di Sepang pada 2017.
Walaupun Malaysia sudah lama tidak menjadi tuan rumah disebabkan kos penganjuran yang terlalu tinggi dan faktor komersial, Sepang masih mengekalkan status litar Gred 1 FIA selain menjadi venue tetap Kejuaraan Dunia MotoGP dan sentiasa dalam keadaan bersedia untuk digunakan.