Bukan kemenangan, tetapi pengalaman di Sepang kali ini tetap meninggalkan kesan paling mendalam buat Lewis Hamilton.
Juara dunia tujuh kali itu menyifatkan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai yang terbaik sepanjang kariernya berlumba di litar berkenaan, selepas berjaya bangkit daripada ketinggalan hampir satu minit pada awal perlumbaan untuk menamatkan saingan di podium.
Hamilton mengakui Ferrari melakukan kesilapan dalam strategi dan pertukaran tayar yang memaksanya bekerja lebih keras untuk mengejar semula kelompok hadapan.
Namun, pelumba itu enggan mengalah dan terus mengejar sehingga berjaya mengubah keadaan.
“Tahniah kepada Max atas kemenangan di Sepang.
“Sememangnya, kami melakukan kesilapan dengan strategi dan termasuk melakukan pertukaran tayar, memaksa kami untuk mengejar perlumbaan.
“Tetapi saya teruskan mencuba dan berjaya menamatkan perlumbaan dalam kelompok podium,” katanya.
Lebih istimewa buat Hamilton, suasana luar biasa di Sepang menjadi antara faktor yang menjadikan perlumbaan kali ini begitu bermakna.
“Sejujurnya, sepanjang karier saya berlumba di Sepang, ini merupakan yang terbaik terutama sekali dengan kehadiran penyokong yang hadir di SIC hari ini,” katanya.
Pengakuan Hamilton itu cukup menggambarkan impak kepulangan Formula 1 ke Sepang, dengan sokongan peminat menjadi antara sorotan utama sepanjang hujung minggu perlumbaan.
Selepas bertahun-tahun tidak beraksi di Malaysia, Hamilton akhirnya kembali ke Sepang dan menghadiahkan penyokong tempatan satu lagi persembahan mendebarkan — bangkit daripada ketinggalan besar untuk menamatkan perlumbaan di podium.
Sepang mungkin tidak memberikan Hamilton kemenangan, tetapi litar ikonik Malaysia itu meninggalkan pengalaman yang disifatkannya sebagai terbaik sepanjang kariernya di sini.