Skip to main content

Permotoran

F1: Hamilton terpantas dalam sesi latihan GP Hungary, Ferrari kuasai dua kedudukan teratas

F1: Hamilton terpantas dalam sesi latihan GP Hungary, Ferrari kuasai dua kedudukan teratas

Lewis Hamilton memberikan petanda positif menjelang Grand Prix Hungary apabila mencatat masa terpantas dalam sesi latihan bebas kedua (FP2), sekali gus mengetuai penguasaan Ferrari dengan Charles Leclerc melengkapkan kedudukan satu-dua.

Pelumba Britain itu, yang merupakan pemenang rekod lapan kali di Litar Hungaroring, mencatat masa terpantas 1 minit 18.729 saat, mengatasi rakan sepasukannya Leclerc dengan kelebihan 0.148 saat.

Lebih bermakna, Hamilton kini berpeluang melakar sejarah sekiranya memenangi perlumbaan Ahad ini.

Kemenangan kesembilan di Hungaroring akan menyamai rekod Formula Satu miliknya sendiri sebagai pelumba paling banyak memenangi perlumbaan di litar yang sama, iaitu sembilan kemenangan di Silverstone.

Selain itu, juara dunia tujuh kali itu turut memburu petak utama (pole position) buat kali ke-10 di Hungary pada sesi kelayakan Sabtu.

Leclerc, yang mendominasi sesi latihan bebas pertama (FP1) dengan catatan 1:19.075, terpaksa menamatkan sesi lebih awal selepas jenteranya mengalami masalah teknikal.

Walaupun begitu, pelumba Monaco itu kembali kompetitif pada sesi petang untuk mencatat masa kedua terpantas.

Juara dunia bertahan, Lando Norris dari McLaren, berada di tempat ketiga, diikuti Max Verstappen dari Red Bull di kedudukan keempat.

George Russell muncul pelumba terbaik Mercedes di tempat kelima dalam kedua-dua sesi latihan, namun masih hampir satu saat lebih perlahan berbanding Hamilton.

Pendahulu kejuaraan dunia, Kimi Antonelli, pula hanya menduduki tangga ke-13 selepas tidak mengambil bahagian dalam sesi pertama bagi memberi laluan kepada pelumba simpanan, Frederik Vesti.

Antonelli mengakui bergelut mengawal jentera Mercedes.

“Saya hampir terbabas dua kali ketika membrek. Apa yang sedang berlaku? Bahagian belakang sering terkunci.”

Russell turut meluahkan rasa kecewa menerusi radio pasukan.

“Jentera ini terasa sangat teruk. Imbangannya langsung tidak baik.”

Ironinya, Hamilton sendiri turut mengadu mengenai pengendalian Ferrari pada sesi pagi.

“Jentera terasa agak teruk. Tunggangannya sangat tidak selesa dan terlalu keras.”

Namun, perubahan tetapan yang dilakukan Ferrari nyata membuahkan hasil apabila Hamilton melonjak ke tangga teratas menjelang penghujung sesi kedua.

Sesi latihan pertama sempat dihentikan seketika selepas Lance Stroll terbabas dengan jentera Aston Martin yang dinaik taraf.

Pelumba Kanada itu tidak kembali beraksi pada sesi kedua kerana pasukan perlu membaiki suspensi belakang jenteranya.

Sementara itu, pelumba Alpine, Franco Colapinto, turut mengalami kemalangan di selekoh terakhir pada pertengahan sesi kedua, menyebabkan bendera merah dikibarkan.

Walaupun Ferrari memulakan hujung minggu dengan cemerlang selepas memenangi dua daripada empat perlumbaan terakhir, Leclerc tetap berpendapat Mercedes masih merupakan pencabar utama menjelang sesi kelayakan.

“Saya masih menjangkakan Mercedes menjadi penanda aras dan mereka akan menjadi pasukan yang sangat sukar untuk ditewaskan dalam sesi kelayakan.”

Dengan prestasi meyakinkan Hamilton dan Leclerc pada hari pertama, Ferrari dilihat berada pada landasan terbaik untuk mencabar kemenangan di Grand Prix Hungary hujung minggu ini.

Anda mungkin berminat dengan

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Related Topics

Must Watch Video