Wolverhampton Wanderers melakar kejutan dalam aksi Liga Perdana Inggeris apabila menewaskan Aston Villa 2-0 di Molineux.
Kemenangan itu hanya yang kedua buat Wolves dalam saingan liga musim ini, dengan Joao Gomes muncul watak utama tuan rumah.
Advertisement
Pemain tengah Brazil itu memecah kebuntuan pada babak kedua sebelum mengesahkan tiga mata penuh menerusi gol lewat permainan.
Villa yang menghuni tangga ketiga hadir dengan reputasi lebih meyakinkan, namun aksi mereka jauh daripada prestasi sebenar. Kealpaan jentera serangan pelawat membuka ruang buat Wolves menghukum dan meraih kemenangan yang amat diperlukan.
Buat skuad kendalian Rob Edwards, ini adalah kemenangan pertama sejak menundukkan West Ham United awal bulan lalu. Walaupun Wolves masih bergelut di bahagian bawah carta, kejayaan ini memberi suntikan moral selain menjejaskan usaha Villa memburu slot ke saingan Liga Juara-Juara UEFA musim depan.
Lebih manis, Wolves sekurang-kurangnya berjaya mengelak daripada memegang rekod kutipan mata terendah dalam sejarah EPL. Dengan 13 mata setakat ini, mereka melepasi catatan 11 mata yang pernah direkodkan oleh Derby County F.C. pada musim 2007-08.
Villa memulakan aksi dengan lebih meyakinkan, Ollie Watkins hampir meletakkan pelawat di depan, namun sentuhan pertamanya berjaya disekat Yerson Mosquera selepas menerima hantaran Morgan Rogers. Tidak lama kemudian, Pau Torres turut terlepas peluang apabila tandukannya tersasar.
Keadaan padang yang basah akibat hujan lebat pada separuh masa kedua menyukarkan Villa mengatur gerakan. Wolves mengambil kesempatan pada minit ke-61 apabila hantaran lintang Jackson Tchatchoua menemui Adam Armstrong sebelum bola terlepas ke kaki Joao Gomes yang tenang menewaskan penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez.
Pengendali Villa, Unai Emery, cuba mengubah corak permainan dengan memasukkan Tammy Abraham dan Ian Maatsen, namun percubaan Maatsen berjaya ditepis kemas oleh penjaga gol Wolves, Jose Sa.
Gol kedua hadir pada minit kelapan masa kecederaan. Rodrigo Gomes menyambar peluang selepas rembatan awal Joao Gomes disekat dalam keadaan kelam-kabut di kawasan penalti Villa, sekali gus memastikan kemenangan berharga buat Wolves di hadapan penyokong sendiri.