Eksperimen singkat Tottenham Hotspur bersama Igor Tudor berakhir secara mengejut malam tadi, di mana kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, yang sedang bergelut di kelompok bawahan, mengumumkan bahawa mereka telah mencapai persetujuan bersama untuk melepaskan pengurus itu selepas hanya lima minggu mengemudi pasukan berkenaan.
Pemergian pengendali dari Croatia itu meninggalkan Spurs dalam kedudukan cukup bahaya dengan berada di tangga ke-17 EPL, hanya satu mata di atas zon penyingkiran dan berdepan kemungkinan tersingkir ke divisyenedua buat kali pertama sejak 1977.
Advertisement
Dilantik bulan lalu untuk memulihkan keadaan selepas pemecatan Thomas Frank, Tudor hanya memenangi satu daripada tujuh perlawanan.
Tempoh perkhidmatannya juga dibayangi oleh tragedi peribadi apabila bapanya, Mario, meninggal dunia awal bulan ini, di mana dia menerima berita duka itu selepas kekalahan memalukan 0-3 Spurs kepada Nottingham Forest di laman sendiri.
"Kami mengesahkan bahawa persetujuan bersama telah dicapai untuk ketua jurulatih, Igor Tudor, meninggalkan kelab ini berkuat kuasa serta-merta," kata Spurs dalam satu kenyataan.
"Kami juga memahami kedukaan yang dialami Igor baru-baru ini dan menyampaikan sokongan kami kepadanya serta keluarganya dalam waktu yang sukar ini."