FULHAM 2 CHELSEA 1
Liam Rosenior mengakui bahawa kesuntukan masa apabila sekadar menjadi penonton ketika Chelsea tumbang 1-2 di Fulham, awal pagi tadi.
Advertisement
Pengurus berusia 41 tahun itu secara rasmi diumumkan sebagai pengurus baru The Blues kelmarin. Namun, seperti ketika mengikat Manchester City 1-1, pengurus B-21, Calum McFarlane, kekal menggalas tugas sebagai pengendali sementara dalam perlawanan 'derby' barat London tersebut tatkala Rosenior memilih untuk memerhatikan barisannya dari tempat duduk penonton biarpun turut menaiki bas The Blues yang tiba di Craven Cottage.
Apabila ditanya tentang keputusannya untuk tidak mengambil alih tugas di Cottage, bekas pengurus Strasbourg itu memberitahu Sky Sports: "Hari ini saya sekadar berkunjung. Apatah lagi Calum telah melaksakan satu tugas yang luar biasa ketika menentang Man City.
"Berkenaan prestasi pemain terutama dalam separuh masa kedua menerusi tenaga, intensiti, kualiti yang ditonjolkan. Barisan kejurulatihan telah menyokong pemain-pemain dalam saat yang sangat sukar dengan cara yang sangat baik.
"Saya terbang dari Strasbourg pagi semalam. Ia adalah tempoh masa yang sukar bagi saya untuk menerapkan taktikal yang saya mahukan demi menyediakan peluang terbaik kepada pemain-pemain untuk mencetak kemenangan.
"Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap Calum dan pemain-pemain untuk memenangi perlawanan malam ini."