Michael Carrick berkata Manchester United "tidak pernah meninggalkannya" selepas kembali sebagai pengurus sementara kelab itu hingga akhir musim ini.
Kepulangan bekas pemain tengah United itu ke Old Trafford disahkan malam tadi untuk menggantikan Ruben Amorim yang dipecat.
Advertisement
Bekas tonggak antarabangsa England itu telah membuat 464 penampilan sebagai pemain United di antara musim 2006 dan 2018 dengan memenangi Liga Juara-Juara (UCL) dan lima gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pengurus berusia 44 tahun itu juga pernah mengambil alih peranan tersebut selepas Ole Gunnar Solskjaer dipecat pada November 2021 sebelum menghabiskan lebih dua setengah tahun lagi menguruskan Middlesbrough.
"Saya tidak menjangkakannya," katanya dalam temu bual pertamanya di platform media kelab itu.
"Ia satu perasaan yang luar biasa untuk kembali dan menjadi sebahagian daripada kelab.
"Ia telah menjadi sebahagian daripada hidup saya sejak sekian lama. Walaupun saya pernah meninggalkan kelab ini selama beberapa tahun, tetapi ia tidak pernah meninggalkan saya.
"Hubungan kekeluargaan ini sangat erat. Saya menghadiri setiap perlawanan, saya mempunyai tiket bermusim. Saya menyayangi tempat ini.
"Duduk di sini sebagai pengurus Manchester United dan mengendalikan skuad utama merupakan satu keghairahan yang besar."