Mikel Arteta berkata kelebihan sembilan mata Arsenal di persada Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini tidak membawa sebarang makna walaupun pasukannya terus meningkatkan tekanan kepada pencabar terdekat, Manchester City.
The Gunners mencatatkan kemenangan selesa 3-0 ke atas Sunderland di Stadium Emirates lewat malam tadi, di mana rembatan deras dari jarak 20 ela Martin Zubimendi pada minit ke-42 membuka tirai jaringan tuan rumah itu sebelum pemain gantian, Viktor Gyokeres, menjaringkan dua gol pada lewat permainan.
Advertisement
City kini perlu memberikan respons melalui baki satu perlawanan dalam tangan menentang juara musim lalu, Liverpool, tengah malam ini di Anfield -- stadium di mana mereka hanya menang sekali daripada 22 kunjungan dalam aksi liga.
Kelebihan Arsenal ini merupakan pendahuluan terbesar pernah dinikmati mereka sejak hari terakhir musim 2003-04, yang juga kali terakhir mereka memenangi liga.
Namun, apabila ditanya apa makna jurang mata itu di peringkat ini, Arteta berkata: "Tiada apa-apa.
"Kami masih perlu memenangi banyak lagi perlawanan untuk mencapai apa yang kami mahukan, jadi lebih baik kita jangan fokus kepada perkara itu.
"Itu perkara lain, kami telah selesaikan tugas kami sekarang, kami telah melakukan apa yang perlu dilakukan, menilai prestasi kami, cuba memperbaikinya dan bersedia untuk menentang Brentford (pada Khamis ini)."