Enzo Fernandez menjadi sasaran ejekan penyokong Chelsea ketika diturunkan sebagai pemain gantian dalam kemenangan 3-1 The Blues ke atas Real Sociedad di Stamford Bridge.
Fernandez diperkenalkan pada minit ke-62, namun kemunculannya disambut dengan kecaman dan ejekan daripada sebahagian penyokong.
Situasi itu dipercayai berpunca daripada beberapa isu termasuk kontroversi yang melibatkan pemain Argentina tersebut selepas kejayaan Piala Dunia, selain spekulasi berpanjangan mengenai masa depannya di Stamford Bridge.
Fernandez juga dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City untuk kembali bekerjasama dengan bekas pengurusnya, Enzo Maresca.
Lebih mencetuskan perhatian, Fernandez mengambil lilitan kapten daripada Reece James sebaik memasuki padang, tindakan yang menambahkan lagi reaksi berbelah bahagi dalam kalangan penyokong.
Chelsea menunjukkan beberapa perkembangan positif di bawah kendalian pengurus baharu, Xabi Alonso.
Morgan Rogers membuat penampilan pertama dengan penuh bergaya apabila membuka jaringan pada minit ke-11 selepas perpindahan besar daripada Aston Villa.
Real Sociedad menyamakan kedudukan menerusi Jon Aramburu sebelum rehat, namun Chelsea kembali menguasai permainan pada babak kedua.
Joao Pedro muncul watak utama apabila meledak dua gol untuk memastikan kemenangan Chelsea.
Penyerang Brazil itu meneruskan prestasi cemerlang sepanjang pramusim dengan jumlah jaringan kini meningkat kepada tujuh gol.
Gol pertamanya hadir menerusi tandukan hasil hantaran tepat Reece James, sebelum dia menjaringkan gol kedua pada minit ke-77 untuk memastikan kemenangan Chelsea.
Selepas perlawanan, Alonso memilih untuk memberi tumpuan kepada suasana positif di Stamford Bridge berbanding isu yang melibatkan Fernandez.
“Sangat emosional untuk merasai kali pertama saya di tempat sendiri.
“Sambutan daripada penyokong kepada pasukan, staf baharu dan saya sendiri amat baik. Saya sangat gembira,” katanya kepada laman rasmi Chelsea.