Juara perseorangan wanita Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025, Emma Firyana Saroji, mengakui menerima perkhabaran gembira apabila Majlis Sukan Negara sedang dalam pertimbangan memindahkan lokasi latihan 'portable rink' dari Stadium Juara ke Bukit Jalil.
Menurut Emma, perancangan awal menyaksikan ianya berpotensi diadakan dalam sebuah khemah berdekatan tempat letak kereta di Stadium Nasional Bukit Jalil sekitar Mei tahun ini.
Advertisement
Mengulas mengenai sesi latihan di bulan Ramadan, Emma menegaskan intensiti latihan tetap seperti biasa dengan terdapat beberapa pertukaran daripada segi jadual sesi latihan bagi menyesuaikan dengan waktu berbuka puasa.
"Kemungkinan portable rink yang berada di Stadium Juara akan dipindahkan ke Bukit Jalil, kami tidak pasti bagaimana pihak Perbadanan Stadium akan lakukan.
"Jika diikutkan sebelum ini mahu diletakkan ke dalam dewan tetapi memandangkan tidak muat jadi mungkin akan diletakkan khemah putih.
"Selagi tempat itu selesa, pengudaraan tempa itu baik maka tiada masalah." katanya.
Untuk rekod, seramai lapan atlet boling padang bakal ditambah bagi memasuki Program Podium.
Antaranya atlet lelaki terdiri daripada Mohamad Haikal Roslan, Muhammad Izraf Haszely, Ahmad Zikry Sazeli dan Muhammad Fikri Mohamed Hashim manakala wanita pula adalah Nurul Balqis Anisha Bakar, Ain Nurnajwa Norhisham, Nor Zamziezah Ahmad dan Nur Syafira Redzuan.