Pemain golf Program Pembangunan Remaja Kebangsaan (NJDP-MGA), Ammer Aiman Mohd Fauzi membuktikan kemampuan dirinya selepas menghadiahkan pingat emas acara individu dan perak berpasukan buat kontinjen Kolej Komuniti Malaysia (KKMAS) dalam saingan Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2026.
Turun tanpa sebarang tekanan dalam debut temasya, atlet berusia 19 tahun itu memimpin 'leaderboard' seawal hari kedua untuk berada dalam 'champions flight' di hari penentuan.
Bagaimanapun, cabaran sebenar bermula di hari penentuan tatkala kesemua peserta cuba untuk mengejar mata dan ketika itu lah kekuatan mental menjadi jurang pemisah.
'Fairway' berbukit yang disajikan Kelab Golf Danau Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) nyata berjaya memerangkap pemain.
Ammer yang pada awalnya enggan meletakkan tekanan pada dirinya membuat keputusan untuk mengambil peluang di pentas SUKIPT ini mempamerkan taringnya selepas sedar akan tentangan sengit yang kian dirasai.
Kelebihan 221 pukulan lapan di atas par ke atas pencabar terdekatnya dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Irlman Izzad Mustapa Kamal memastikan kilauan pingat emas dalam genggaman sekaligus gangsa jadi milik Nazran Shahrizan dari Universiti Malaya (UM) yang mencatat 227 pukulan, 14 di atas par.
Pastinya, pencapaian yang diraih ini bakal menjadi tonik tambahan buat dirinya sebelum membuka saingan dalam Kejohanan Golf Amatur Berpasukan Asia-Pasifik ke-31, Piala Putra bermula 14 hingga 18 September depan dan mengambil tempat di Hong Kong, China.
Pingat perak turut menjadi milik kontinjen KKMAS menerusi kuartet yang dibarisi, Akmal Aiman Mohd Fauzi, Ammar Aiman Mohd Fauzi dan Amir Irfan Mohd Razak.
Sementara itu, dalam saingan wanita pula, dua atlet dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendominasi dua kedudukan teratas podium menerusi pungutan pingat emas yang diraih Nur Batrisyia Balqis Abd Ghani dan Alya Afza Hazari dengan pingat perak sekaligus menyaksikan penghuni kedudukan gangsa jadi milik Siti Nurfarah Fasha Mohamad Hasan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Duo UiTM itu turut meneruskan kecemerlangan kontinjen menerusi dominasi pingat emas yang diraih dalam acara berpasukan wanita yang turut dibarisi Zarith Sofia Mohd Sidek.