Sebuah impian yang bermula sejak zaman kanak-kanak kini membuka kemungkinan untuk Bertrand Fourrier kembali menjalin hubungan istimewa bersama Malaysia.
Kali ini, dia bukan lagi seorang pemain muda, malah berpeluang menyarung jersi Harimau Malaya.
Penyerang kelahiran Cameroon itu pernah membesar bersama Akademi Remaja Kuala Lumpur, KLYS, dan berkongsi padang dengan penyerang kebangsaan, Mohamadou Sumareh, yang kini turut memberikan sokongan penuh terhadap hasratnya mewakili negara.
"Ia bermula apabila saya ditemu bual oleh seorang wartawan mengenai zaman kanak-kanak saya dan sudah pasti saya ada bercakap mengenai Malaysia," kata penyerang Ural Yekaterinburg berusia 29 tahun itu dalam satu temu bual eksklusif bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Saya bercakap mengenai KLYS dan perpindahan saya, dan saya tidak tahu bagaimana perbualan itu boleh sampai ke orang Malaysia.
"Sejak itu saya mula mendapat pesanan daripada ramai orang, mereka mengajak saya untuk bermain bersama Malaysia.
"Ia merupakan bahagian penting dalam hidup saya, ia zaman kanak-kanak saya, ia menjadikan saya pemain bola sepak.
"KLYS memiliki diversiti, saya bermain dengan rakan sepasukan dari pelbagai negara seperti Malaysia, China, Jepun, India, Thailand, Amerka Selatan dan Eropah.
"Saya dapat belajar dari ramai orang dan kerana itulah saya katakan ia amat penting dalam hidup saya."