Mikel Arteta mendedahkan anak buahnya, Gabriel Jesus, dalam keadaan 'luar biasa' bersedia untuk memulakan perlawanan dan berhak mendapat peluangnya, menjelang pertembungan Arsenal dan Crystal Palace dalam suku akhir Piala Liga Inggeris (EFL), awal pagi esok.
Pemain Brazil itu kembali daripada rehat yang panjang akibat kecederaan lutut serius yang menyebabkannya diketepikan selama 11 bulan.
Advertisement
Dia kembali diturunkan ketika menghadapi Club Brugge dalam Liga Juara-Juara (UCL) dan kini sudah membuat tiga penampilan gantian membabitkan aksi menentang Wolves dan Everton.
Pemain berusia 28 tahun itu tidak memulakan perlawanan sejak Januari lalu tetapi penngurus tersebut menjelaskan Jesus sudah bersedia untuk kembali bermain dari awal permainan.
"Anda boleh lihat, bukan sahaja dalam perlawanan malah setiap hari dalam latihan, betapa dia menunjukkan bahawa dia memang berkehendak. Dia layak mendapat peluang tidak lama lagi.
"Saya telah perhatikannya selepas tujuh bulan dia kembali ke padang berdasarkan kelincahan dan kemahuan tingginya.
"Saya rasa ia sebuah kisah yang indah dalam menjelaskan apa erti bola sepak kepadanya dan bagaimana ia mempengaruhi kehidupannya."
