Kita selalu nampak atlet yang mencipta gemilang dalam bidang sukan mereka, namun tidak ramai atlet yang berjaya bukan sahaja sukan, malah hebat dalam pelajaran.
Itu apa yang terjadi kepada pemegang rekod 100 meter pecut kebangsaan, Azeem Fahmi, yang tidak hanya hebat di atas trek balapan, malah hebat jua dalam akademik.
Dia membuktikan kejayaan akademik dan di atas trek balapan mampu dicapai seiring kerana di amana ada kemahuan, di situ pasti terbentang jalannya.
"Saya berpindah dari bersekolah asrama penuh ke sekolah sukan dan kebanyakan ibu bapa menjangkakan atlet akan hanya berikan tumpuan kepada sukan sahaja.
"Tapi untuk mengimbangi di antara sukan dan akademik, anda perlu meletakkan persoalan besar dalam kehidupan dan ibu bapa adalah pendorong saya selain orang di sekeliling yang berikan sokongan penuh sejak saya kecil lagi.
"Restu ibu bapa, itulah yang penting," katanya di Nadi Arena.
Azeem merupakan Anugerah Emas KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) sempena Majlis Anugerah KPM-MSSM-MILO dan di samping ratu skuasy negara, S. Sivasangari, dia diangkat sebagai duta baharu Milo.
Dia baru menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Fisiologi Senaman dan Kinesiologi di Auburn University di Alabama, Amerika Syarikat (AS) serta bercadang melanjutkan pengajiannya di tanah air.
"Anugerah ini tidak dikeluarkan setiap tahun. Saya bangga jadi salah seorang penerimanya dan menyuntik motivasi.
"Andai anda mengimbangi akademik dan sukan, anda boleh pergi lebih jauh.
"Milo telah membuka banyak peluang kepada ramai pelajar di negara ini dengan menawarkan pelajar yang bersukan.
"Kehadiran Milo di gelanggang memberikan motivasi dan sebagai duta Milo, saya dapat dekati atlet muda di serata Malaysia.
"Buat pelajar-pelajar, teruskan usaha kerana banyak lagi menanti pada masa hadapan," katanya lagi.