Skip to main content

Olahraga

Duplantis cipta rekod dunia kali ke-15

Duplantis cipta rekod Dunia kali ke-15

Bintang lompat bergalah Sweden, Armand 'Mondo' Duplantis, sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila memecahkan rekod dunia buat kali ke-15 dalam kariernya pada kejohanan Mondo Classic di Uppsala, Sweden.

Dalam kejohanan yang berlangsung di hadapan penyokong sendiri itu, juara Olimpik dua kali berusia 26 tahun tersebut mencatat lompatan setinggi 6.31 meter, sekali gus memperbaharui rekod dunia miliknya sebelum ini dengan peningkatan satu sentimeter.

Advertisement

Lebih mengagumkan, Duplantis melakukan lompatan tersebut tanpa sebarang kegagalan sepanjang pertandingan. Beliau memulakan cabaran dengan melepasi ketinggian 5.65m sebelum berjaya mengatasi 5.90m dan 6.08m pada percubaan pertama, sebelum meminta palang dinaikkan ke paras rekod dunia 6.31m.

Rekod baharu itu mengukuhkan lagi dominasi atlet kelahiran Amerika Syarikat yang kini mewakili Sweden itu dalam acara lompat bergalah. Sejak memecahkan rekod dunia pertamanya pada 2020 dengan lompatan 6.17m, Duplantis terus menaikkan paras rekod secara konsisten sehingga kini.

Dalam pertandingan sama, atlet Norway, Sondre Guttormsen, menduduki tempat kedua selepas mencatat lompatan 6.00m, manakala atlet Amerika Syarikat, Zachery Bradford, Sam Kendricks serta wakil Australia, Kurtis Marschall, berkongsi kedudukan seterusnya dengan catatan 5.90m.

Kejayaan terbaru itu sekali lagi menegaskan status Duplantis sebagai antara atlet terhebat dalam sejarah olahraga moden. Dengan rekod dunia kini berada pada paras 6.31m, tumpuan seterusnya terarah sama ada beliau mampu terus menolak had kemampuan manusia -- dengan sasaran baharu mencecah 6.40m pada masa depan.

Jika momentum ini berterusan, tidak mustahil Duplantis akan terus memecahkan rekod miliknya sendiri dan mengukuhkan legasi sebagai raja lompat bergalah dunia.

Must Watch Video